Saturday, September 11, 2010

Amalan-Amalan Sunnah Untuk Aidilfitri

AMALAN SUNNAH SEMPENA AIDILFITRI


Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T:

"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu." - Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini. Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

• Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:

"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

• Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.


• Meneruskan qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

• Mandi pada pagi hari raya.

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:

"Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

• Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:

"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

• Memakai pakaian yang indah.

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:

"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

"Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:

"Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:

"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:

"Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya." - Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

• Tempat perlaksanaan solat hari raya.

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

"Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka." – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

• Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

"Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Adakah disunnatkan menziarah kubur pada hari raya?

TIDAK DISUNATKAN UNTUK MENZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA AIDILFITRI
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Lazimnya pada pagi Hari Raya iaitu sebelum atau sesudah solat Hari Raya Aidilfitri, umat Islam di Malaysia akan berpusu-pusu memenuhi tanah-tanah perkuburan untuk menziarah kubur ahli keluarga mereka. Sesetengah tanah perkuburan telah berubah menjadiseperti kawasan perayaan yang meriah. Terdapat gerai-gerai yang menjual bunga-bunga dan air wangian untuk ditabur dan dijirus di atas kuburan. Ramai juga di antara kita yang melakukan ibadat-ibadat tertentu di kawasan perkuburan tersebut seperti membaca surahYasin, berzikir malah ada yang melakukan upacara tahlil di situ untuk di sedekahkan pahalanya kepada mayat. Ada juga segelintir kecil umat Islam yang sehinggakan membawa makanan serta minuman di kawasan perkuburan dan membuat jamuan di kawasan perkuburan. Ini semua merupakan perbuatan yang tidak pernah diajaroleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tidak juga pernah diamalkan oleh mana-mana para al-salafussoleh termasuk imam kita Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah. Sekiranya perkara tersebut adalah baik lagi mendatangkan manfaat yangbesar kepada umat Islam, nescaya mereka akan mendahului kita dalam mengamalkannya. Syaikh Wahid Abdussalam Bali ketika mengingkari pengkhususan HariRaya Adilfitri dijadikan hari menziarah kawasan perkuburan telah berkata:


Pertama, bukan merupakan petunjuk Nabi shallallahu 'alaihi wasallam atau salah seorang sahabatnya mengkhususkan Hari Raya untuk berziarah kubur

Kedua, Hari Raya adalah hari kegembiraan dan kesenangan, bukan hari kesedihan dan tangisan.

Ketiga, Hari Raya adalah hari saling berkunjung orang-orang yang masih hidup, dan bukan untuk mengunjungi orang-orang yang sudah mati. - Syaikh Wahid Abdussalam Bali, 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, ms. 429

Sebenarnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mengharamkan untuk dilakukan ibadah di kawasan perkuburan dan menjadikannya sebagai kawasan perayaan. Ini sebagaimana sabdanya:

Janganlah kamu jadikan rumah kamu itu sebagai kuburan. Sesungguhnya setan itu lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah. - Hadis riwayat ImamMuslim, no: 780

Dari hadis ini dapat kita fahami bahawa rumah yang tidak dikerjakan ibadah seperti membaca al-Qur’an dan solat adalah sama seperti kawasan perkuburan. Oleh itu secara tidak langsung ia memberitahu kepada kita semua bahawa kawasan perkuburan bukan merupakan tempat untuk beribadah seperti membaca al-Qur’an.

Tambahan pula amalan mengirim pahala bacaan al-Qur’an seperti surah Yasin kepada mayat menurut pendapat Imam al-Syafi’i rahimahullah adalah tidak sampai pahalanya kepada mayat tersebut. Ternyata di dalam kitab-kitab Imam al-Syafi’i tidak pernah tertulis tentang amalan mengirim pahala bacaan al-Qur’an kepada mayat ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. - Al-Najm (53) : 38-39

Telah berkata al-Hafidz Ibnu Kathir rahimahullah di dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Qur’an al-Adzim ketika mentafsirkan ayat di atas:

Iaitu sebagaimana seseorang tidak akan memikul dosa orang lain demikian juga seseorang tidak akan memperolehi ganjaran (pahala) kecuali apa-apa yang telah dia usahakan untuk dirinya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini Imam al-Syafi’i bersama paraulamak yang mengikutinya telah mengeluarkan hukum bahawa bacaan al-Qur’an tidak akan sampai hadiah pahalanya kepada orang yang telah mati. Kerana bacaan tersebut bukan dari amal dan usaha mereka. Oleh kerana itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah mengsyari’atkan umatnya (untuk menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada yang telah mati) dan tidak juga pernah menggemarinya atau memberikan petunjukkepada mereka baik dengan nash (dalil yang jelas lagi terang) dan tidak juga dengan isyarat dan tidak pernah dinukilkan dari seorangpun sahabat (bahawa merekapernah mengirim pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang telah mati). Jika sekiranya amalan itu baik tentu para sahabat telah mendahului kita mengamalkannya. Dandi dalam masalah ibadah ianya hanya terbatas pada dalil dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas atau pendapat-pendapat.

Imam al-Nawawi al-Syafi’i rahimahullah pula di dalam Syarah Muslim (jilid 1, ms. 90) telah berkata:

Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada simati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya iaitu firman Allah:

bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.

Dan Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidhi, no: 1297.

Oleh itu bagi masyarakat Islam di Malaysia yang rata-ratanya mengaku berpegang teguh dengan mazhab Syafi’i sewajarnya meninggalkan amalan membaca al-Qur’an di kuburan bertujuan untuk mengirim pahalanya kepada mayat ini bukan hanya pada pagi Hari Raya Aidilfitri tetapi juga pada hari-hari selainnya. Sabda baginda shallallahu 'alaihi wasallam lagi:

Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu itu sebagai kuburan dan janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, no: 1746

Sekiranya kubur manusia yang paling mulia di atas muka bumi ini iaitu kuburnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diharamkan untuk dijadikan kawasan perayaan,apatah lagi kuburan manusia biasa yang selainnya. Maka haram hukumnya untuk mengkhususkan Hari Raya Aidilfitri sebagai hari berkumpulnya manusia di kawasan perkuburan kerana ia menggambarkan seolah-olah kuburan telah dijadikan kawasan perayaan.

Tambahan pula apabila manusia berkumpul beramai-ramai dan melakukan pelbagai aktiviti di kawasan perkuburan sering kita sering melihat mereka duduk di atas kubur atau memijak-mijaknya. Mereka seolah-olah tidak pernah mengetahui amaran keras daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terhadap mereka yang duduk di atas kubur. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

Sesungguhnya jika seseorang kamu duduk di atas bara api membakar sehingga menembusi pakaiannya lalu membakar kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kuburan. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 971

Tidak dinafikan bahawa kita sememangnya disunnahkan untuk menziarah kubur agar mengingatkan kita kepada kematian. Ini sebagaimana sabda Nabi shallallahu'alaihi wasallam:

…maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 976

Namun demikian Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah memerintahkan kita untuk mengkhususkan pagi Hari Raya Aidilfitri sebagai hari untuk menziarah kubur. Sekiranya amalan ini baik untuk umat Islam tentu baginda akan memerintah para sahabatnya radhiallahu 'anhum untuk mengerjakannya. Ternyata tidak wujud satu hadispun yang sabit daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam tentang amalan menziarah kubur khusus pada Hari Raya Aidilfitri.

Tambahan pula apa yang disunnahkan untuk kita lakukan ketika menziarah kubur hanyalah mendoakan kesejahteran mayat dan doa yang telah diajar oleh Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam adalah:

Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin dan insya Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 975

Salam sejahtera hai penghuni kubur mukminin dan muslimin, semoga Allah memberi rahmat kepada orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian dari kami dan insya Allah kami akan menyusul. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 974

Oleh itu itu hendaklah kita menghindarkan diri dari melakukan amalan-amalan bid’ah di kawasan perkuburan pada Hari Raya Aidilfitri yang mulia. Sesungguhnya ketika Allah 'Azza wa Jalla mewafatkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, agama Islam itu sudah lengkap dan apa-apa ibadah yang bukan sebahagian daripada agama ketika itu maka ianya bukan sebahagian daripada agama Islam selama-lamanya. Telah berkata Imam Malik bin Anas rahimahullah:

Barangsiapa mengada-adakan sesuatu di dalam umat ini yang tidak pernah di lakukan para pendahulunya, maka dia benar-benar menganggap Rasulullah shallallahu'alaihi wasallam telah mengkhianati agama ini kerana Allah Ta’ala telah berfirman:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.- al-Maaidah (5) : 3

Oleh itu sesuatu yang pada waktu itu yang bukan sebahagian dari agama, maka sekarang pun tidak dianggap sebagai sebahagian dari agama. - Dinukil dari kitab Manhaj Akidah Salaf: Akidah Imam Malik ditulis oleh Syaikh Muhammad bin ‘Abdurrahman al-Maghrawi, Pustaka Azzam, Jakarta 2002, ms. 60.


Sunday, June 20, 2010

Solat dan Khusyuk


Antara ibadah yang penting yang wajib dilakukan ialah solat. Ia amat penting sehinggakan ketika sedang berperang sekalipun solat tidak boleh ditinggalkan. Solat juga merupakan tiang agama. Imam Al-Baihaqi meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat itu tiang agama sesiapa yang meninggalkannya dia meruntuhkan agama.”
Dalam surah Al-Mukminun ayat 1, 2 dan 9 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solat mereka…. Dan mereka yang memelihara solat-solat mereka.”
Justeru, untuk berjaya umat Islam tidak boleh mengabaikan solat sama sekali terutamanya solat-solat fardu. Dalam konteks melaksanakan solat, dua perkara wajib dijaga, pertamanya khusyuk dan keduanya memastikan agar solat dilaksanakan secara berterusan mengikut cara dan jadual waktu yang telah ditetapkan.
Kesesatan Kerana Memperkecilkan Solat
Golongan yang memperkecilkan solat merupakan golongan yang sesat. Dalam surah Maryam ayat 59 Allah berfirman, “Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan..” Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Maksud ‘mensia-siakan solat’ bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkannya dari waktunya”. Imam Said ibn Al-Musayyab mempunyai pendapat yang sama dengan sahabat Abdullah ibn Abbas. Beliau berkata, “Mereka melaksanakan solat zuhur dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib, solat maghrib dalam waktu isyak, solat isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh dan solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumban masuk ke dalam sebuah lembah yang bernama ghay di dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik..” Hal ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Justeru melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, sahabat Abdullah ibn Masud pernah bertanya kepada nabi, “Apakah amalan yang paling Allah sukai?” Baginda menjawab, “Solat tepat pada waktunya.” Abdullah ibn Masud bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda menjawab, “Melakukan kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa.” Abdullah bertanya lagi, “Kemudian apa?” Nabi menjawab, “Jihad kerana agama Allah.”
Apakah Maksud Khusyuk? 
Solat tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika nabi ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika solat maka baginda pun bersabda, “Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.” Berkata Imam Al-Alusi, “Khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan.” Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” Sahabat Ali bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Imam Hasan Al-Basri pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan.” Pandangan yang agak merangkumi tentang khusyuk ialah pandangan sahabat Abu Darda’. Beliau berkata, “(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.” Kesemua pendapat ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.
Justeru khusyuk di dalam solat adalah penting. Namun khusyuk perlu diamalkan tidak hanya di dalam solat. Ia perlu diaplikasikan dalam setiap ibadah yang kita lakukan agar kesannya lebih positif. Di akhir zaman khusyuk akan lenyap dari hati-hati manusia digantikan dengan kealpaan dan kelalaian. Mengikut Imam Al-Hakim, sahabat Ubadah bin Samit berkata, “Tidak berapa lama lagi akan sampai satu zaman apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki yang khusyuk.” Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, sahabat Huzaifah bin Yaman berkata, “Perkara pertama yang akan luput dari agamamu ialah khusyuk dan akhirnya yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan terungkai satu demi satu.”
Cara Untuk Khusyuk
Asas kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Justeru, untuk khusyuk penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam.. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, ialah, “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu.” Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara yang lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.
Untuk membantu kekhusyukan hati, beberapa pengaruh luaran perlu dikawal dan dijaga. Antaranya, jika seseorang berasa lapar hendaklah beliau menjamah makanan terlebih dahulu sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Apabila datang makanan malam dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dahulu.” Demikian jugalah kiasannya dengan membuang air besar dan kecil dan yang seumpamanya.
Dalam kitab Ihya Ulumuddin dalam bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, Imam Al-Ghazali berkata, “Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada pendengaran dan penglihatan sekali gus mengganggu kekhusyukan seseorang. Ubatnya ialah memisahkan dan menjauhkan diri dari kesemua pengaruh itu. Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak melaksanakan solat di tempat yang dipenuhi ukiran kesenian dan tidak melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai celupan warna yang menarik (serta gambar-gambar). Ketika hendak bertakbiratul ihram hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu jiwanya, dan dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat dan dibayangkan kepadanya keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah pada suatu hari nanti… Walau bagaimanapun hawa nafsu memang susah hendak dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan condong kepadanya tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat. Justeru mujahadah hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang dapat dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengeluarkan jumlah yang sama daripada cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu. ”
Benarlah Imam Al-Hasan ketika beliau berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada seksaan Allah”.
Faedah-Faedah Solat
Solat yang dilakukan akan menggugurkan dosa seseorang. Imam Muslim meriwayatkan, nabi bersabda, “Solat yang lima menghilangkan dosa sebagaimana air menghilangkan daki.” Dalam riwayat yang lain oleh Imam Muslim, nabi bersabda, “Solat menghapuskan dosa yang berlaku di antara satu solat dengan satu yang lain melainkan dosa-dosa besar.”
Solat membina jati diri seseorang. Imam Abu Al-Aliyah berkata, “Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah. Ikhlas akan membawa seseorang kepada yang makruf, khusyuk akan mencegahnya dari perbuatan mungkar dan zikrullah akan membantunya melakukan yang makruf dan mencegahnya dari yang mungkar”. Hal ini disebutkan di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Hamka.
Di samping itu, solat menguatkan jiwa seseorang sehingga memampukannya meninggalkan kekejian dan kemungkaran. Dalam surah Al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.” Apabila peribadi unggul seperti ini dapat dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat akan menjadi aman dan selamat.
Solat mendidik umat Islam menjadi pengurus masa yang baik. Dalam surah An-Nisak ayat 103, Allah berfirman, “Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.” Oleh kerana solat fardu yang lima terikat dengan waktu, mereka yang bersolat perlu prihatin dan peka dengan waktu kerana solat yang dilakukan di luar waktu dengan sengaja dianggap sebagai tidak sah dan bakal mendatangkan dosa. Kepekaan kepada waktu ini jika diperkembangkan kepada seluruh kehidupan akan menjadikan umat Islam satu golongan yang menghargai masa. Golongan yang menghargai masa pasti akan cemerlang.
Solat juga membentuk disiplin. Di antara perkara yang wajib dilaksanakan sebelum bersolat ialah mengambil wuduk, dan wuduk tidak dianggap sah melainkan dengan tertib. Tertib bermaksud, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan. Demikian juga ketika bersolat, tertib wajib dipelihara.. Jika seseorang mendahulukan amalan yang sepatutnya dikemudiankan, sebagai contoh, melakukan sujud sebelum qiam dan takbiratul ihram, solatnya dianggap tidak sah. Latihan-latihan seperti ini mampu melahirkan insan yang celik prosedur lagi berdisiplin sekali gus menjadikannya efisien dalam setiap pekerjaan.
Solat mendidik umat Islam agar mementingkan ilmu. Hal ini disebabkan ketika melaksanakan solat berjemaah, imam yang memimpin solat hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim dan Ahmad, nabi bersabda, “Hendaklah yang mengimami sesuatu kaum itu mereka yang lebih tahu tentang Al-Quran. Jika kemampuan mereka sama di sudut ini, pilihlah dari kalangan yang lebih memahami sunah..” Makmum yang berada di belakang imam juga perlu menguasai ilmu kerana kadangkala imam terlupakan sesuatu di dalam solatnya. Justeru, untuk membantu imam, Islam mengarahkan agar makmum yang berdiri hampir dengan imam adalah dari kalangan mereka yang berilmu. Mengikut Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi, nabi bersabda, “Hendaklah mereka yang pandai lagi baligh bersolat dekat denganku, kemudian mereka yang seumpama mereka, kemudian mereka yang seumpamanya..”
Tekanan jiwa atau stres sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan zikir jika dilakukan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati. Dalam surah Taha ayat 14 Allah berfirman, “Dan tegakkanlah solat untuk berzikir kepadaku.” Oleh kerana solat benar-benar mendamaikan hati nabi pernah berkata, “Bangunlah wahai Bilal (untuk azan) dan rehatkanlah kami dengan solat.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Justeru di sisi nabi, solat diumpamakan seperti kekasih hati.  Dalam sebuah riwayat oleh Imam An-Nasai, nabi bersabda, “Dan dijadikan cahaya mataku pada solat.”

Wednesday, June 9, 2010

Masuk Islam

Aktivis sayap kiri Israel, Tali Fahima yang dihukum oleh negaranya sendiri karena membantu rakyat Palestina, dilaporkan bahwa dia masuk Islam pada hari Senin (7/6) di sebuah mesjid di Umm al-Fahm, di hadapan tiga orang syekh.
Syekh Yusuf Albaz menegaskan bahwa Fahima memang sudah masuk Islam. Fahima sendiri menolak memberikan komentar, dan tak mau diwawancarai oleh "media Zionis."
Fahima dinyatakan bersalah pada bulan Desember 2005 karena terus melakukan kontak dengan Palestina dan Israel menganggap hal itu merugikan keamanan mereka, dan dijatuhi hukuman tiga tahun penjara. Secara khusus Fahima dinyatakan bersalah karena membantu Brigade Al-Aqsa, termasuk pemimpin kelompok itu di Jenin Zakaria Zubaydi. Dia dibebaskan dari penjara pada Januari 2007.
Layanan keamanan Shin Bet mengklaim bahwa Fahima, yang tinggal di Wadi Ara, berencana menjadi "teroris Yahudi pertama" kepada kaumnya sendiri.
Syekh Albaz, anggota senior dari Cabang Utara Gerakan Islam di Israel, menyertai Fahima selama proses masuk Islam. "Saya menyukai mentalitasnya, saya menyukai seseorang yang lebih suka perlawanan daripada menyerah, dan Tali Fahima adalah contoh dari perlawanan," katanya. "Saya tegaskan padanya bahwa dia harus terus seperti sekarang ini. Saya juga berbicara kepadanya tentang cara-cara Islam dan menjelaskan bahwa agama ini sekarang menghadapi segala kekuatan jahat di dunia."
"Fahima diterima dengan tangan terbuka," kata Sheikh Albaz lagi. "Dari titik ini, ia adalah seorang Muslimah, tidak ada upacara khusus."
Fahima melakukan salat di Umm al-Fahm pada akhir pekan. (sa/ynet)

Tuesday, June 8, 2010

AS Menyokong Tragedi Pembunuhan Kejam Armada Kebebasan

Selasa, 08/06/2010 – Amerika Syarikat menganggapkan tindakan Israel melakukan pembunuhan secara kejam baru-baru ini terhadap para aktivis yang berada di atas kapal armada kebebasan, yang cuba belayar ke Gaza untuk memberikan bantuan kemanusiaan, adalah sebagai tindakan untuk mempertahankan hak mereka dan menjaga “keselamatan Israel”.
Joseph Biden, Naib Presiden Amerika, telah berkata dalam sebuah wawancara televisyen bahawa “ Israel “memiliki hak penuh dalam menahan dan memeriksa kapal yang menuju ke Gaza. Beliau menambah lagi bahawa : “Israel tidak mengetahui (sebenarnya) muatan kapal yang menuju ke Gaza tersebut yang telah dilancarkan roket keatasnya”.
Joseph Biden menegaskan lagi bahawa armada kebebasan perlu bertanggungjawab atas kesalahan mereka sendiri kerana tidak mematuhi atau mendengar kehendak Zionis supaya armada menukar pendirian mereka dan memberi peluang kepada “kerajaan” Zionis atau kebenaran supaya menguruskan bantuan kemanusiaan dengan (pihak rejim Zionis) membawa sendiri kapal konvoi tersebut ke Gaza.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar

penterjemah :  arif

Friday, February 26, 2010

Memang Allah sengaja

MEMANG ALLAH SENGAJA…..



memang ALLAH sengaja menemukan kita

dengan orang yg salah supaya kita

dapat menjadi penilai yg baik.


memang ALLAH sengaja menemukan kita

dengan orang yg salah supaya kita

sedar bahawa kita hanyalah makhluk yg

sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH.


memang ALLAH sengaja menemukan kita

dengan orang yg salah supaya kita

dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK,KHAS
UNTUK DIRI KITA.


memang ALLAH sengaja menemukan kita

dengan orang yg salah supaya kita

sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH &

PENYAYANG kerana mengingatkan kita
bahawa dia bukanlah pilihan yg hebat
untuk kita dan kehidupan kita pada
masa depan…


memang ALLAH sengaja menemukan kita

dengan orang yg salah supaya kita

dapat mengutip pengalaman yg tak semua
orang berpeluang untuk mengalaminya.


memang ALLAH sengaja menemukan kita

dengan orang yg salah supaya kita jadi

MANUSIA YG HEBAT JIWANYA.


memang ALLAH sengaja menemukan kita

dengan orang yg salah supaya kita

lebih faham bahawa CINTA YG TERBAIK
HANYA ADA BERSAMA ALLAH.


memang ALLAH sengaja menemukan kita

dengan orang yg salah supaya kita

LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YG TAK
SELAMANYA KEKAL…

RENUNG-RENUNGKAN BERSAMA…..

Al-Qassam dan Pejuang Kebangsaan Bertempur Dengan Israel

Gambar di sebelah: Anak panah berwarna
hijau menunjukkan lokasi Karem Abu Salem
Sumber melaporkan dari KATAIB IZZUDDIN AL-QASSAM(sayap tentera HAMAS) mengumumkan bahawa pejuangnya telah menghadang sepasukan unit dari tentera Israel berdekatan sempadan Karem Abu Salem(Kerem Shalom).

Web rasmi Al-Qassam melaporkan, bahawa pejuang-pejuang Al-Qassam berjaya dalam pertempuran dengan tentera Israel yang cuba menyelinap masuk melalui sempadan Karem Abu Salem awal pagi tadi(26/02/2010, Jumaat).

Dinyatakan, pejuang al-Qassam melepaskan tembakan dari senjata berat dan melancarkan 5 roket jenis 'hawn'(80 milimeter) ke arah tentera zionis dalam pertempuran yang meletus di timur Rafah.

Jelas Al-Qassam bahawa pejuang-pejuangnya telah berjanji dengan nama Allah dan kepada penduduk Palestin untuk meneruskan 'jihad' dan menentang Israel serta mengharungi sebarangan penentangan dari pihak musuh. Dengan izin Allah, jenayah penjajah akan dibalas dalam waktu yang sewajarnya.

Dalam masa yang sama, tentera Israel mengumumkan pihaknya melepaskan tembakan ke arah 4 Palestin yang menghampiran garisan sempadan selatan Gaza-Israel mengakibatkan salah seorang darinya parah. Tentera Israel mendakwa, 4 penduduk Palestin yang menghampiri garisan sempadan cuba menanam peledak di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, sumber Palestin belum mengesahkan laporan ini.

Sementara itu, KATAIB MUQAWAMAH WATANIAH(pejuang kebangsaan dari barisan pertahanan demokrasi) turut mengumumkan pejuangnya menghalang sepasukan dari unit khas tentera Israel yang mara di timur Rafah berdekatan kawasan 'Abu Mathbaq' dengan melepaskan tembakan dari 'machine-gun' dan melancarkan roket jenis RPG. Kejadian tersebut berlaku awal pagi tadi.

Dalam kenyataan pejuang kebangsaan yang disampaikan kepada sumber menyatakan, 'pejuangnya juga menyerang sepasukan tentera penjajah(Israel) yang berpengkalan sementara di kawasan terbabit dengan pelancar roket dan tembakan yang sengit' bagi menghalang kemaraan Israel dan balasan kepada dasar politik dengan usaha pengyahudian ke atas hak suci Islam, khususnya di bandar Al-Quds dan Masjid Nabi Ibrahim.

Pejuang kebangsaan mengakui bahawa 'penentangan' adalah satu-satunya jalan bagi mendapatkan semula hak-hak tanahair. Sumber 26/02/2010, web berita Maannews.net dan web rasmi Al-Qassam


Friday, January 1, 2010

Solat akhir waktu



Rupa-rupanya ada cerita kalau kita lewatkan sembahyang kita yea ....
Jika berpuasa Amalan kita direct terus padaNya
Tapi Jika bersembahyang Ada posmen pula Untuk hantar amalan kita padaNya
Kisahnya ?..

Setiap kita ada malaikat
Malaikat yang hantar amalan sembahyang kita Pada Ilahi
Untuk sampaikan amalan kita
Ia melalui tol-tol di setiap lapisan langit
Dimana setiap penjaga tol,
Kroni malaikat juga
Jika sembahyang di awal waktu
Tolnya "free"
Sekatan tol tiada
Tiada "jem"
Malaikat terus sampaikan amalan pada Tuhan Untuk dinilaikan
Tapi
Jika sembahyang di akhir waktu
Tol free juga
Tapi sekatannya
MasyaAllah?.
Di langit pertama,
Penjaga tol marahkan posmen kita
Kenapa lewat poskan amalan kita
Merayu-rayu posmen malaikat kita
Minta diberi laluan
Tetapi? penjaga langit pertama
Tidak heran
Dicampakkan amalan lewat sembahyang tadi ke bumi
Maka..
Jatuh berderai?
Dikutip semula oleh Malaikat posmen kita
Satu persatu dikutip
Sambil terus merayu untuk ke lapisan langit ke-dua
Dilangit kedua,
Samalah juga,
Bebelan malaikat kerana lewat hantar amalan
Merayu lagi kawan kita
Tak dipedulinya
Lalu dilemparkan amalan lewat sembahyang kita tadi
Jatuh berderai lagi..
Dikutip satu persatu amalan kita
Dirayu lagi untuk diserahkan amalan kita pada Tuhan
Dilangit ketiga,
La?. Kena basuh lagi malaikat posmen kita
Kenapa lewat hantar amalan tersebut
Tiada kompromi
Terus dibaling amalan kita
Jatuh berderai amalan kita
Tak ade nilai?.
Dan tiada lagi dikutip dan dirayu lagi

Maka..
Tak sampailah amalan kita kepada Allah
Seolah-ol ah kita tak sembahyang juga
Maka?
Bersedialah kita menerima pembalasannya
Tak di dunia di akhirat pula
Hilang duit, Hati risau, Tender ditolak,
Ujian bertimpa-timpa
Ish?.
Tak berbaloikan kita buat amal
Tapi tak sampai
Dahlah tu
Tak de nilai
Kena azab lagi nanti

Ya Allah !!! Ampunkan kami ! Kerana lalai !
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang
Jadikan hati kami Suka sembahyang di awal waktu
Gawatkan hati kami selagi kami tak segerakan
Biarlah kami gawat di dunia
Agar kami tidak gawat lagi Di hari akhirat kelak.
Amin.
 
sumber : http://www.rakanmasjid.com